Wednesday, December 29, 2010

Kenapa Perlu Menagis Lagi?

Comments

ref:http://dieffi.deviantart.com/art/my-way-to-nowhere-102673204
Roda kehidupan sememangnya tidak pernah berhenti berputar dan ia akan terus berputar sehingga sampai masanya. Saban kali kita dengar orang melontarkan ungkapan ini:

Hidup umpama roda, ada ketika di atas dan ada ketika di bawah

Masa berlalu membawa usia hidup kita. Makin hari makin meningkat usia. Namun dalam meniti usia ini, kita akan berhadapan dengan apa yang dikatakan roda hidup. Kita mengatur langkah, berbekalkan ilmu yang kita timba ditokok keupayaan menaakul baik buruk sesuatu tindakan agar apa yang kita bakal hadapi mampu kita terjah. Menggalas seribu harapan demi mengejar satu cita-cita, moga menjadi manusia yang berguna kelak.

Dalam perjalanan ini, kita tidak sunyi dari ditimpa pelbagai dan aneka dugaan. Kita berhadapan dengan situasi yang cukup menjerut perasaan dan ada kalanya membuatkan kita sesak nafas. Adakala kita yakin dengan usaha yang kita laburkan namun kita tidak mampu mencongak adakah usaha yang kita lakukan itu betul-betul berjaya? Begitu juga dengan impian kita, adakah menggapai impian itu semudah yang kita mimpikan?

Dengan yakin kita mengatur langkah, jangan terlepas pandang dengan duri dihadapan. Jangan terlalu asyik kita mendongak ke langit sehingga kita terlupa pada bumi yang kita pijak. Di langit semuanya tampak indah tapi di bumi hakikatnya bermacam-macam perangkap ada. Jadilah bijak dalam membuat percaturan. Andai rebah, bangunlah semula. Biar berseka air mata, usah mengalah. Hidup perlukan langkah. Langkah membawa kita ke mana yang kita hendak. Jangan mengeluh teruskan bersabar kerana janjiNya cukup manis.

Oleh itu, kenapa perlu menangis lagi? Jawabnya pada diri masing-masing. Kerana bagi aku, menagis meredakan sedikit kesesakan. Namun esoknya, kita perlu mengatur langkah lagi dan lagi dan lagi sehingga ajal datang menjemput.


"Perjalanan menuju manis perlukan laluan pahit. Jika pahit, telanlah kerana manis menanti. Itulah janji untuk manusia yang sabar"
 
best linux hosting