Saturday, December 4, 2010

Perkahwinan-Antara adat dan tuntutan agama.

Comments
sumber gambar: maskawin


Aku tak pandai untuk berbicara bab-bab agama untuk mengulas sesuatu isu tapi aku tetap nak membebel. Bab yang aku nak bebelkan adakah perkahwinan zaman sekarang.

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, pengaruh Hindu cukup meluas dikalangan penduduknya. Setelah Islam masuk melalui saudagar-saudagar Arab suatu ketika dahulu, pengaruh Hindu kian berkurangan namun hari ini masih ada yang mempraktikkan sepeninggalan nenek moyang kita yang kini dikenali sebagai adat terutamanya dalam perkahwinan.

Hukum melangsungkan walimatulurus ini sebenarnya sunat muakad dalam Islam yang bertujuan untuk mewar-warkan pernikahan antara pengantin lelaki dan perempuan dan juga mengelakkan fitnah. Jemputan dilakukan dengan kelaziman kita iaitu mengedarkan kad kenduri dan hukum menerima jemputan itu adalah wajib. Jemputan pula mengikut keutamaan bermula dari saudara-mara terdekat, jiran tetangga, sahabat dan rakan taulan kedua belah pihak.

Islam menitik beratkan kesederhanaan dalam melangsungkan perkahwinan kerana tujuan utama perkahwinan adalah untuk hebahan semata-mata. Sekecil-kecil kenduri adalah kenduri kesyukuran dan itu sudah memadai. Majlis perkahwinan pula bukan pentas untuk menunjukkan kekayaan dan jika berlaku juga tentulah menjadi riya' , jangan pula berlaku percampuran bebas antara lelaki dan perempuan dan jangan berlaku maksiat yakni pengantin perempuan dan tetamu perempuan memakai pakaian yang menjolok mata serta mendedahkan aurat.

Jika berkahwin tentu tidak lepas dari adat bersanding. Memang telah diketahui amalan bersanding berkait rapat dengan kebudayaan Hindu dan animisme yang bertapak dalam kehidupan melayu turun temurun. Untuk mengadakan pelamin yang mahal walaupun berkemampuan adalah tidak dituntut dalam Islam. Namun ada juga yang memberi alasan untuk dijadikan kenangan pada masa hadapan tetapi hujah ni tidak boleh diterima kerana didorongi nafsu dan membelakangi saranan Rasulullah.

Jika hendak diadakan pelamin juga, perlulah mengikut adab-adabnya seperti kesederhanaan, berhias seadanya, menutup aurat dan tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita. Jika semua ini dituruti maka hukumnya HARUS.

Adat bertepung tawar dan menabur beras kunyit juga adat yang masih dipraktikan oleh segolongan umat Islam hingga hari ini atas dasar adat turun temurun. Ia difahamkan untuk menaikkan semangat pengantin dan jika ada mencampur adukkan jampi mentera maka HARAM pulak hukumnya. Sebab itu dalam Islam dianjurkan  kenduri doa selamat bertujuan meminta perlindungan dari Allah dari sebarang kecelakaan.

Kesimpulan yana dapat aku katakan, kesederhanaan amat dituntut dalam Islam. Bagi yang masih kuat dengan adat, masalah perbelanjaan mahal akan dihadapi oleh pihak lelaki dan berhutang untuk majlis perkahwinan adalah amat tidak digalakkan. Buat kenduri atas dasar kemampuan bukan kehendak nafsu sehingga mengundang riya'. Jika guna alasan barang keperluan mahal memang tidak dapat diterima sama sekali jika banyak perbelanjaan dirancang dihabiskan untuk persandingan, tempahan hotel dan perhiasan serta solekkan. Jika menggunakan khidmat katering mungkin ada yang mencecah RM10000. Kalau dekat kampung (PAKAT/gotong royong) RM3000-RM4000 sudah muncukupi(tempat akulah). Namun pihak bakal mertua aku pula merancang untuk majlis kesyukuran sahaja kerana bagi mereka yang penting adalah akad nikah dan mas kahwin(yang wajib). Pesan mereka pada aku, 'yang penting redha Allah'.

p/s: jika ada teguran dan pembetulan dalam artikel ni amatlah dialu-alukan.
 
best linux hosting